Kerajaan kaji sistem rel, contohi kecekapan stesen Tokyo: Dr Mahathir

Dr Mahathir menunjukkan buku Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 pada Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir menunjukkan buku Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 pada Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menjalankan kajian tentang bagaimana untuk menjadikan sistem rel Malaysia digunakan sepenuhnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mendapatkan nasihat daripada pakar di Jepun untuk mencontohi kecekapan Stesen Tokyo dan penggunaan yang tinggi.

“Kita melabur untuk bina kereta api tapi tidak digunakan sepenuhnya. Rel merupakan pelaburan yang besar dan ia perlu digunakan sekerap mungkin.

"Kita akan dapatkan nasihat pakar dari Jepun untuk program perjalanan rel bersama freight atau penumpang," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di sini hari ini.

Dr Mahathir turut menggalakkan syarikat untuk menggunakan kereta api bagi pengangkutan barang berat, berbanding menggunakan jalan raya, kerana ini dapat mengurangkan kemungkinan berlaku kemalangan.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk menyediakan tempat khas di stesen kereta api bagi menjamin keselamatan barang berkenaan.

“Kita harap di masa hadapan, sistem rel kita akan jadi maju seperti Jepun dan Korea Selatan. Hasrat kita adalah untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian atas jalan dan meningkatkan penggunaan rel terutamanya bagi perjalanan yang jauh.

“Jika ada keperluan untuk menambah jajaran kereta api maka kita akan tambah. Pihak swasta juga dijemput untuk mencadang dan melabur serta menyewa landasan yang sedia ada,” katanya dan menurutnya kerajaan mengalu-alukan lebih banyak pengendali rel di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kehadiran pengendali pelbagai rel tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap operasi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan mengambil kira ia akan mendapat bayaran yuran daripada penggunaan landasan kereta api.

Memberikan contoh, beliau berkata, YTL Corporation mengendalikan operasi kereta api mewah dari Singapura ke Bangkok yang juga menggunakan landasan kereta api Malaysia.

“Mereka bayar yuran untuk menggunakan landasan. Jika ada lebih banyak syarikat mahu menggunakan rel untuk mengangkut barang atau penumpang, ini boleh dilakukan,” katanya.- Bernama