X

Kindly register in order to view this article
!

KPKT mahu semua PBT tingkatkan usaha capai SDG

Zuraida Kamaruddin -Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu semua 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) negara meningkatkan usaha untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya akan memastikan semua PBT dapat menunjukkan tahap pencapaian mereka dalam mencapai 17 SDG.

"Dapat mencapai sebahagian daripadanya juga mencukupi untuk menunjukkan bahawa komitmen kami bersungguh-sungguh dan fokus dalam melaksanakan SDG di negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Forum Urban Asia Pasifik (APUF) kali ke-7 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sini hari ini.

SDG sudah menjadi agenda utama global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara menjelang 2030.

Zuraida berharap, negara akan mampu mencapai matlamat itu sebelum 2030 untuk menunjukkan usaha serius.

"Harus ada usaha yang lebih serius sebab saya percaya akar umbi memang tidak peka atau tidak ada pengetahuan atau kesedaran tentang ada SDG dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kerajaan akan mengadakan lebih banyak penglibatan bersama masyarakat bagi menyampaikan maklumat berhubung SDG.

"Ini usaha seluruh dunia dan bukan sahaja Malaysia untuk mencapai matlamat ini untuk memastikan keadaan kehidupan mereka lebih lestari dan tidak akan menyumbang kepada perubahan iklim atau bahaya perubahan iklim," katanya.

Sementara itu, Zuraida turut mengumumkan bahawa KPKT juga akan menganjurkan Forum Kerajaan Tempatan Komanwel (CLGF) pada tahun hadapan di Melaka.

"Forum ini yang akan diadakan pada Jun tahun hadapan adalah merupakan satu platform untuk kita memperkasakan PBT," katanya. - Bernama