'Kali terakhir dia melambai kepada saya'

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin melawat Rohani di Endau hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin melawat Rohani di Endau hari ini.
A
A
A

MERSING - "Ini yang terakhir," demikian kata-kata Allahyarham Abd Manap Abdullah, 63, yang meninggal dunia selepas menyelam di Pulau Lima bagi meninjau proses meletakkan tukun udang kara kelmarin.

Isterinya, Siti Rohani Midin, 58 berkata, dia sering melarang suaminya yang merupakan pesara Jabatan Taman Laut Johor supaya tidak lagi aktif menyelam kerana usianya yang sudah lanjut.

"Saya selalu marah dia pergi menyelam kerana sudah berumur, tapi kali ini dia jawab, ini yang 'last'.

"Dia memang suka sangat kalau ada orang panggil dia pergi menyelam sebab dia memang minat menyelam," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di Endau, Mersing hari ini.

Menurut Rohani, Allahyarham sempat melambai kepadanya untuk kali terakhir sebelum meninggalkan rumah pagi kelmarin.

"Dia keluar pada jam 8.30 pagi dan kali terakhir saya tengok dia melambai kepada saya dari dalam kereta.

Dua tiga hari sebelum itu,dia memang ceria," katanya.

Rohani turut menyambut baik hasrat Jabatan Perikanan menamakan kawasan Tukun Pak Manap sempena nama Allahyarham suaminya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Abd Manap tidak sedarkan diri selepas menyelam kali kedua di Pulau Lima bagi meninjau keadaan tukun udang kara yang diturunkan.

Allahyarham mengadu sejuk badan dan semput sebelum disahkan meninggal dunia.