Tiada jaminan kerja dalam industri media cetak: Kadir Jasin

Kadir (dua dari kiri) diundang sebagai salah seorang panel pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam.
Kadir (dua dari kiri) diundang sebagai salah seorang panel pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM – Tiada lagi jaminan bagi penuntut bidang Komunikasi dan Pengajian Media untuk mendapat pekerjaan dalam industri media cetak, kata Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Justeru, beliau menyarankan agar penuntut yang memilih bidang tersebut menyambung semula pengajian dengan mengikuti kursus lain selepas menamatkannya untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Teruskan pengajian dalam bidang komunikasi tetapi selepas itu sambung belajar kursus lain kerana tidak ada masa depan dalam industri media.

“Kita tidak boleh bernostalgia lagi dengan media cetak. Saya sendiri pun setiap hari baca akhbar tetapi sekadar muka hadapan kemudian saya tutup,” katanya.

Kadir diundang sebagai salah seorang panel pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam.

Ahli panel lain yang turut terlibat ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas lanjut, Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times itu berkata, peralihan zaman menyebabkan orang ramai tidak lagi berminat membaca akhbar.

“Anda tidak pernah cuba untuk membentuk akhbar itu sebagai bahan bacaan, sebab itu anda tidak minat dan tidak suka baca akhbar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menjawab soalan yang dibangkitkan oleh bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dalam sesi soal-jawab bersama peserta.

Ahmad mempersoalkan mengenai peruntukan sebanyak RM1.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk program pemakanan murid yang sepatutnya turut digunakan untuk melanggan akhbar di sekolah.

Menjawab soalan itu, Kadir berkata, peruntukan yang disediakan kementerian itu adalah untuk kesihatan murid.