Pelantikan Jokowi: Lebih 30,000 anggota polis, tentera kawal keselamatan

Jokowi
Jokowi
A
A
A

JAKARTA - Lebih 30,000 anggota polis dan tentera akan ditugaskan menjaga keamanan di kota Jakarta, semasa berlangsungnya pelantikan dan angkat sumpah Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) bagi penggal 2019-2024 pada Ahad ini.

Jokowi, 57, dijadual mengangkat sumpah di bangunan Parlimen Indonesia pada jam 2 petang untuk terus memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal keduanya selepas penggal pertama (2014-2019) sebagai presiden tamat pada 19 Oktober 2019.

Bagi pemerintahan penggal keduanya, Jokowi akan bergandingan dengan pasangan baharunya, Ma'ruf Amin, 76, sebagai naib presiden, selepas pasangannya sebelum ini, Jusuf Kalla tidak layak lagi bertanding pada pilihan raya Presiden 2019 kerana telah dua penggal menjawat jawatan itu sebelum ini.

Undang-undang Pemilu (Pilihan Raya Indonesia), Pasal 7 (Tahun 1945) menetapkan presiden dan wakil presiden (naib presiden) hanya boleh menjawat jawatan itu, maksimum 10 tahun (dua penggal). Jusuf Kalla, 77, adalah juga naib presiden semasa pemerintahan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.