Ahli Bersatu Lumut pertikai kerajaan Perak

Syed Razif (kanan) menunjukkan kenyataan media yang diedarkan pada sidang media hari ini.
Syed Razif (kanan) menunjukkan kenyataan media yang diedarkan pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak diminta memberikan penjelasan berhubung pemberian kontrak secara terus kepada sebuah syarikat konsesi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) di kawasan perbandaran.

Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lumut, Syed Razif Syed Rabii berkata, perkara itu amat meragukan kerana ia bertentangan dengan prinsip ketelusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertegas sebarang pemberian projek kerajaan perlu melalui tender terbuka.

Menurutnya, pemberian kontrak secara terus itu juga mengakibatkan inflasi kos kepada kepada kontrak-kontrak penyelenggaraan yang dilaksana kontraktor sekali gus membebankan kerajaan.

"Saya sebagai seorang ahli Bersatu amat kesal dengan keadaan ini sekali gus memberikan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Menteri besar dan Exco perlu menjelaskan perkara ini mengapa boleh berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media berhampiran sebuah hotel hari ini.

Beliau berkata, perkara yang ditimbulkan itu bukan disebabkan ada kepentingan tertentu tetapi kerana saluran untuk mendapatkan penjelasan dihalang.

Dalam pada itu, Syed Razif turut kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menghalang sidang medianya diadakan sehingga memaksa pihak pengurusan sebuah hotel membatalkan tempahan yang dibuat lebih awal.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Lumut, Nordin Ahmad Ismail mempersoalkan tindakan Syed Razif membangkit isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan kerajaan itu perlu difahami dengan sebaik mungkin kerana usaha itu merupakan langkah penambahbaikan yang disokong oleh kontraktor-kontraktor berkelayakan kerana ia membantu mengatasi penyalahgunaan lesen kontraktor seperti mana yang berlaku di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Katanya, langkah menambahbaik sistem penyelenggaraan Bajet MARRIS oleh kerajaan Perak akan ditentang oleh segelintir kontraktor yang sekian lama mengaut keuntungan besar hasil daripada menjadi ahli atau mempunyai hubungan baik dengan UMNO dan BN.

"Justeru, ini menimbulkan kemusykilan apakah niat sebenar Syed Razif membangkitkan dakwaan yang tidak berasas. Adakah dia cuba mencari publisiti murahan?

"Adakah dia layak bercakap sebagai ahli Bersatu atau cuba menggunakan nama BERSATU untuk bersuara bagi pihak kontraktor-kontraktor mesra UMNO/BN yang kini kehilangan arah kerana tidak mampu bersaing secara sihat dalam perniagaan?," katanya.