X

Kindly register in order to view this article
!

Wan Kuzain dalam radar

Wan Kuzain
A
A

KETUA Jurulatih skuad bola sepak Bawah-23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan Wan Kuzain Wan Kamal berada dalam senarai pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina bulan depan.

Bagaimanapun, Kim Swee memberitahu, beberapa proses sedang dilakukan sebelum skuad B-23 negara dapat menggunakan khidmat Wan Kuzain ketika saingan Sukan SEA nanti.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia masih dalam proses untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

"Apapun nama Wan Kuzain memang ada dalam senarai awal yang akan dipanggil.

“Kita tidak mahu ganggu dia buat masa ini dan tunggu sehingga Wan Kuzain selesai beraksi bersama kelabnya di Amerika Syarikat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, pemain berdarah Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat itu telah menyuarakan hasratnya untuk mewakili skuad negara pada temasya Sukan SEA 2019.

Perkhabaran itu jelas menggembirakan ramai pihak terutamanya penyokong bola sepak tanah air yang menganggap kehadiran Wan Kuzain mampu memberi nilai tambah kepada skuad negara.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, perbincangan dengan Wan Kuzain setakat ini tampak positif untuk membawa pemain kelab Sporting Kansas City berusia 21 tahun itu beraksi bersama skuad kendaliannya.

“Namun, kami masih beri ruang kepada Wan Kuzain memandangkan Liga Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat hanya akan berakhir awal November atau lewat Oktober ini.

"Kita masih berkomunikasi dengan dia dan segalanya positif,” jelasnya.

Kim Swee belum lagi mengumumkan 25 pemain untuk menjalani kem latihan pusat kerana memberikan laluan kepada beberapa pemain yang turut menggalas cabaran bersama Harimau Malaya.

Antaranya termasuklah tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Mohamed Syamer Kutty Abba yang dijangka dipanggil selepas Harimau Malaya menentang Indonesia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil 19 November depan.

Kelmarin, Kim Swee memaklumkan skuad kendaliannya akan memulakan kem latihan pusat pada 4 November dan dijadual mengadakan dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus