Memperkasakan gerakan koperasi rantau Asia Pasifik

Abdul Fattah (dua dari kanan) berbincang bersama wakil koperasi dari rantau Asia Pasifik ketika Mesyuarat ICA Asia Pasifik di Kigali.
Abdul Fattah (dua dari kanan) berbincang bersama wakil koperasi dari rantau Asia Pasifik ketika Mesyuarat ICA Asia Pasifik di Kigali.
A
A
A

RWANDA - Pendekatan untuk memperkasa gerakan koperasi rantau Asia Pasifik perlu dibuat dengan mendekati masyarakat melalui aktiviti dijalankan koperasi terutamanya dalam kegiatan ekonomi yang boleh mengharmonikan kehidupan sejagat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Ikatan Koperasi Antarabangsa bagi rantau Asia Pasifik berkata, masyarakat ingin melihat apa yang boleh mereka peroleh menerusi koperasi sebagaimana motto koperasi itu bekerja bersama-sama demi manfaat bersama.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat serantau untuk menggerakkan ekonomi secara bersama menerusi institusi koperasi amat dirasai dan konsep 'HAN' diamalkan di Jepun kini dipraktikkan secara meluas para koperator bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup.

"Dalam konteks Malaysia, usaha menangani kos sara hidup dibuat menerusi koperasi dengan menggabungkan kerjasama semua koperasi yang menyertai untuk membuat pesanan belian secara pukal yang kemudiannya diagihkan koperasi-koperasi kepada anggotanya.

"Program yang dinamakan BA100 anjuran Angkasa ini menyelaras pesanan belian daripada koperasi secara pukal dan diedarkan kepada anggota. Pembelian secara pukal ini dapat mengurangkan peranan orang tengah yang menjadi antara sebab kos barangan meningkat," katanya di Mesyuarat ICA Asia Pasifik di Kigali.

Abdul Fattah berkata, kini sudah banyak kerjasama perdagangan dijalankan dalam kalangan koperasi di rantau Asia Pasifik dan banyak produk serta perkhidmatan koperasi yang mencapai tahap untuk dieksport boleh didagangkan di koperasi serantau.

Beliau juga menjemput koperasi serantau untuk mengambil bahagian dalam Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (Maccops) anjuran Angkasa dan menjadi acara antarabangsa yang akan berlangsung di Persada Johor Bahru bermula 28 hingga 30 November ini.

"Sudah sampai masanya koperasi Malaysia bergabung kepakaran dan tenaga untuk menggerakkan usaha secara tangkas lagi bersepadu bagi membawa produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia ke persada dunia," katanya.

Artikel Berkaitan: