Pertemuan Anwar-Azmin tak sentuh isu politik, dedah Saifuddin

Perjumpaan ringkas antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam langsung mencuri tumpuan. Foto: Facebook Syafiq Sunny
Perjumpaan ringkas antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam langsung mencuri tumpuan. Foto: Facebook Syafiq Sunny
A
A
A

KUANTAN - Perjumpaan ringkas antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam langsung tidak menyentuh mengenai politik.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyertai pertemuan itu sehingga digelar sebagai 'saksi hidup' dalam pertemuan minum kopi yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu.

"Kami berbincang mengenai perkara serius dan fokus kepada urusan kerajaan, belanjawan dan sektor penerimanya... tapi ia berlangsung dalam keadaan yang ‘jovial’ dan tidak sampai kepada isu parti yang berat.

"Anwar menyentuh tentang kira-kira kadar kemiskinan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mohamed Azmin menyebut tentang mekanisme yang diguna pakai oleh kerajaan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di kampus Gambang di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Beliau diminta mengulas pertemuan dua pimpinan tertinggi PKR itu yang didakwa tidak sehaluan sejak tahun lepas yang dirakamkan berlangsung di Parlimen semalam dengan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut membuat catatan berhubung perkara itu di Twitter.

Pertemuan itu menurut Saifuddin Nasution, juga berlaku secara spontan selepas beliau selesai menjawab soalan pada persidangan Parlimen dan Anwar memberikan isyarat kepadanya untuk minum kopi dengan secara kebetulan Mohamed Azmin berada di ruang istirahat itu.

"Kami berbincang sambil berdiri seperti biasa sehingga Anwar menegur tak akan hendak berdiri sahaja?... Semuanya seperti biasa dan hanya orang menggambarkan mereka berperang sedangkan hakikatnya tidak begitu dan tidak timbul pun perkara yang digembar-gemburkan itu," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: