'Ada sebab kerajaan tingkat import gula dan daging kerbau dari India'

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan Malaysia untuk meningkatkan import gula dan daging kerbau dari India bukan semata-mata disebabkan laporan kempen memboikot minyak sawit Malaysia oleh negara itu.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan bahawa langkah itu bertujuan melahirkan penghargaan Malaysia kepada negara itu kerana menjadi satu daripada rakan dagang utama.

“Ia bukan semata-mata kerana itu (kempen ke atas minyak sawit Malaysia di India), namun, fokus adalah bagi mendapatkan seramai mungkin rakan dagang dan sudah pasti India merupakan rakan penting bagi minyak sawit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu akan memaklumkan peratusan kenaikan import bagi gula dan daging dari India kelak.

Semalam, Kementerian Industri Utama berkata, Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India di sebalik laporan India mungkin mengehadkan import minyak sawit Malaysia susulan kenyataan negara mengenai konflik di Kashmir. - Bernama

Artikel Berkaitan: