Tapak pelupusan sampah haram dikesan

A
A
A

KUANTAN - Tapak pelupusan sampah haram seluas 0.5 hektar dikesan di kawasan perindustrian Gebeng di sini semalam selepas penduduk terhidu bau busuk dan ternampak asap dari kawasan terbabit sejak seminggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, pembukaan tapak pelupusan haram itu menjadi ancaman kepada penduduk sekitar terutamanya di sekitar Balok dan Balok Perdana sekali gus menyebabkan kualiti udara tercemar di kawasan perumahan itu.

Menurut, beberapa hari lalu, penduduk membuat aduan dan mereka mendakwa terhidu bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar dan menjejaskan kesihatan anak-anak.

"Penduduk juga memberitahu masalah sama masih berulang malah semakin kuat bau sehingga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

"Jadi, saya menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat satu kawasan baru dijadikan tempat pelupusan sampah dan pembakaran di kawasan itu sedang berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

No Image Caption

Andansura berkata, hasil lawatan dan pemeriksaan itu mendapati banyak sisa perindustrian seperti bahan kimia dan terdapat sisa domestik dibuang di kawasan terbabit.

Menurutnya, pembakaran sisa buang itu menyebabkan kawasan itu mengeluarkan bau kurang menyenangkan dan boleh menjejaskan tahap kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng bagi memadam sisa yang terbakar itu dan pihak bomba meletakkan tali sawat supaya kawasan terbabit tidak diceroboh serta tiada pembakaran terbuka dilakukan.

"Saya juga dimaklumkan, pihak JAS juga menubuhkan pasukannya untuk memantau kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Andansura berharap, pihak industri dan kilang-kilang perlu menilai semula kontraktor mereka yang mengendalikan pengurusan sampah.

Menurutnya, penilaian itu penting bagi memastikan kontraktor lantikan mereka membuang sampah di kawasan yang dibenarkan.

"Saya sebolehnya tidak mahu perkara ini berulang dan perlu ambil iktibar terhadap kes yang berlaku di Pasir Gudang, Johor Baharu," katanya.