Abdul Talib lega Syahir, Zulkifli sedia buat rayuan

Syahir dan Zulkifli dikatakan bersedia membuat rayuan berkenaan hukuman penggantungan 24 bulan yang dikenakan PSM.
A
A

KESEDIAAN bekas dua tekong negara membuat rayuan berkenaan hukuman penggantungan 24 bulan sedikit melegakan ketua jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad.

Bagaimanapun, Abdul Talib enggan mengulas lanjut sama ada perkembangan positif mengenai Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak itu akan memberi kesan kepada persediaan kem sepak takraw menjelang temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Jelasnya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuk prestasi semasa seandainya dua pemain itu diserap semula ke dalam skuad negara, namun beliau menyerahkan segala keputusan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

“Saya bersyukur kerana isu antara mereka berdua dan PSM sudah nampak jalan penyelesaian. Saya berharap mereka dapat membuat rayuan seberapa segera dan turut berharap pihak PSM dapat menimbangkan rayuan itu.

“Pasukan sudah bersiap sedia jika mereka berdua ada atau tidak. Mereka sudah tidak bersama pasukan sejak Jun lalu dan perkara pertama saya fikirkan adalah mengenai prestasi dan keduanya pemain sedia ada tetapi saya akan akur dengan keputusan PSM,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Mohd Syahir dan Muhammad Zulkifli masing-masing yang digugurkan PSM daripada skuad negara hujung Jun lalu atas alasan disiplin serta digantung sementara, semalam menyuarakan kesediaan membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Tempoh penggantungan 24 bulan diterima dua pemain itu mula berkuat kuasa 27 Jun lalu dan selain penggantungan, kedua-duanya dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan PSM.

Kedua-dua pemain berkenaan sudah membuktikan kemampuan menyumbang bakti kepada negara apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.

Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas milik Malaysia pada Sukan Asia 2018, sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara pada temasya itu.

Dalam pada itu, Abdul Talib berkata kejayaan diraih skuad negara sebelum ini adalah disebabkan faktor semangat kerjasama sebagai sebuah pasukan dan rasa hormat dalam pasukan.