Kapal penggerudi dari Bahamas ditahan

Kapal yang didaftarkan di Bahamas itu ditahan kira-kira jam 9 malam kerana dipercayai tidak mempunyai kelulusan sah untuk berlabuh.
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili menahan sebuah kapal penggerudi (drilling ship) di perairan Timur Tanjung Balau di sini malam tadi.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal yang didaftarkan di Bahamas itu ditahan kira-kira jam 9 malam kerana dipercayai tidak mempunyai kelulusan sah untuk berlabuh.

“Kapal dengan tanda 'SONANGOL QUENGUELA' itu ditahan kapal peronda selepas didapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.

“Vessel penggerudi itu ditahan di kedudukan kira-kira 9.0 batu nautika Timur Tanjung Balau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, ketika ditahan kapal berkenaan dikendalikan oleh 43 kru termasuk nakhoda berusia lingkungan 28 hingga 67 tahun dari pelbagai negara.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

“Jika didapati bersalah ia boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan penahanan itu merupakan kes ke-28 melibatkan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi ZMTS untuk tahun 2019.