KPDNHEP dedah aduan berkaitan katering meningkat

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 127 aduan berhubung tuntutan daripada pengguna berkaitan perkhidmatan katering sejak tahun 2014 sehingga September 2019.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan tersebut menunjukkan peningkatan setiap tahun membabitkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada pengguna yang telah mengeluarkan kos untuk mendapatkan perkhidmatan katering terutamanya pada musim cuti persekolahan.

“Nilai tuntutan yang diterima oleh Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) merekodkan 65 pemfailan aduan dengan nilai tuntutan RM415,000 pada tahun 2018 manakala sehingga September lalu, TTPM mencatatkan nilai tuntutan RM185,000 dengan 35 pemfailan aduan.

“Jumlah keseluruhan nilai tuntutan tersebut adalah RM833,000 membabitkan aduan berkaitan antaranya makanan yang tidak berkualiti, makanan tidak mencukupi dan kelewatan menghantar makanan,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahun apakah signifikan pelancaran Pelan Tindakan Industri Katering 2020 baru-baru ini, berapakah sumbangan industri katering kepada KDNK negara dan berapa jumlah aduan yang telah diterima KPDNHEP berhubung industri katering ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, statistik menujukkan pendaftaran perkhidmatan katering dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semakin meningkat dengan 88,192 perniagaan telah berdaftar dari tahun 2013 hingga 2019.

Katanya, peningkatan jumlah katering berdaftar ini juga turut menyumbang kepada peningkatan Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2010 kepada RM 5.8 bilion pada tahun 2015.

“Dengan peningkatan ini, Pelan Tindakan Industri Katering 2020 yang dilancarkan bari-baru ini dilihat sebagai langkah intervensi untuk mengatasi sebahagian isu yang dihadapi oleh pemain industri katering, pembekal dan seterusnya melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Pelan ini hadir tepat pada masanya apabila KPDNHEP berhadapan dengan aduan dan tuntutan daripada pengguna berkaitan perkhidmatan katering terutamanya semasa musim perkahwinan iaitu di awal dan akhir tahun,”katanya.