'Wang ihsan RM15.7 juta bukan royalti minyak Kelantan'

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa kerajaan Kelantan sudah menerima wang royalti daripada kerajaan Persekutuan adalah tidak benar.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan Kelantan meminta royalti minyak namun kenyataan Menteri Kewangan semalam adalah berkenaan wang ihsan sebanyak RM15.7 juta bukannya wang royalti.

"Kerajaan minta royalti minyak atau gas tetapi yang kerajaan Persekutuan beri adalah wang ihsan. Apa yang Menteri Kewangan cakap semalam ialah wang ihsan bukan royalti minyak. Beza terlampau jauh, cuba rujuk balik kamus dewan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

“Wang ihsan nak beri pun tak apa, tak beri pun tak apa tetapi royalti hak kita, kewajipan hendaklah dibayar kepada Kerajaan Kelantan.

“Saya maklumkan kepada ahli dewan pada 17 September lalu sebanyak RM15,749,561.50 di bawah tajuk wang ihsan kepada Kelantan 2019,” katanya semasa menjawab soalan tambahan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim sini hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (Pas-Semerak) berkenaan dengan dakwaan Menteri Kewangan bahawa negeri ini sudah menerima wang royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri.

Hilmi Abdullah (Pas-Guchil) turut bertanyakan soalan tambahan mengenai tunggakan royalti minyak yang belum dibayar dan Ahmad memberitahu, bayaran tunggakan tersebut adalah tidak tetap memandangkan ia bergantung kepada hasil tahunan yang diperoleh setiap tahun.

Lim Guan Eng semalam mendakwa bayaran royalti kepada kerajaan Kelantan telah dibayar bulan lepas dan beliau sendiri yang menandatangan pembayaran atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng turut memaklumkan pembayaran tersebut sepatutnya dilakukan pada Januari depan, namun diawalkan ke bulan lepas.

ARTIKEL BERKAITAN 'BN tak pernah janji bayar royalti minyak kepada Kelantan'