Budak 4 tahun maut nahas, 5 ahli keluarga selamat

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan van dan lori petang tadi.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan van dan lori petang tadi.
A
A
A

TAPAH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas van dinaiki bersama lima ahli keluarga lain terbabit dalam nahas dengan sebuah lori di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhampiran Air Kuning hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 4.40 petang, Nur Fathiah Mohd Fariz Azlan yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kampar.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian turut menyebabkan ibu kanak-kanak itu berusia 36 tahun serta adik perempuan berusia dua tahun cedera parah.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun yang memandu van berkenaan bersama seorang lagi anak perempuan berusia 10 tahun dan seorang anak saudara berusia 8 tahun masing-masing duduk di bahagian penumpang belakang cedera di kepala.

"Ketika kejadian, van dinaiki enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Kampar menuju ke Langkap.

"Tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori muatan tong cat.

"Pelanggaran menyebabkan seorang penumpang belakang van maut sementara yang lain mengalami kecederaan termasuk parah," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insiden itu turut menyebabkan pemandu lori berusia 65 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala kelindan yang berusia 35 tahun cedera di kepala.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Ahmad Noor Syamsu Zainoldin berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 999.

“Seorang kanak-kanak perempuan didapati tersepit pada pintu van dan operasi dijalankan menggunakan peralatan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan,” katanya.