Budak tujuh tahun maut tertembak di kepala

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENINGAU - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri ketika bermain dengan rakannya dalam kejadian di Kampung Sosogoh Salong Pagalungan pada Isnin lalu.

Mangsa berusia tujuh tahun terkena tembakan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nabawan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Nabawan bahawa terdapat seorang kanak-kanak telah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu telah terkena tembakan di bahagian kepala daripada senapang buatan sendiri jenis 'pump gun' oleh rakannya yang bermain bersamanya.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, susulan kejadian itu seramai tujuh individu telah ditahan dan satu senjata api turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.