Terengganu dijangka banjir bulan depan

Che Adam (duduk baju biru) bersama agensi yang terlibat dalam JPBN selepas mengadakan mesyuarat hari ini. Foto: JPBN
Che Adam (duduk baju biru) bersama agensi yang terlibat dalam JPBN selepas mengadakan mesyuarat hari ini. Foto: JPBN
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu bakal memasuki fenomena Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan berlakunya banjir bermula awal atau pertengahan bulan depan dan berakhir sehingga Mac 2020.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Jabatan Meteorologi Terengganu memaklumkan buat masa sekarang Terengganu berada dalam tempoh fasa peralihan monsun tersebut.

"Sebagai persediaan pihaknya mengaktifkan 12 buah Rangkaian Stesen Pencerapan Meteorologi Malaysia (Real Time Data) di seluruh Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Che Adam, semua pejabat daerah telah menjalankan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) di kawasan masing-masing sebagai penyelarasan persiapan menghadapi bencana banjir.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Terengganu (JKM) juga telah menyediakan stok bekalan bantuan banjir di 142 stor pangkalan hadapan seluruh negeri yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Katanya, sebanyak 553 pusat pemindahan di seluruh negeri kini bersedia dibuka sekiranya berlaku banjir dan ia boleh menampung lebih 131,000 mangsa dalam satu masa.

"Seramai 3,292 pegawai dan anggota dari semua agensi terlibat kini berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya dengan dibantu 633 aset serta jentera seperti bot, lori dan ambulans.

"Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) juga akan mula beroperasi secara pasif iaitu pada waktu pejabat sebaik saja musim Monsun Timur Laut bermula secara rasmi dan berfungsi secara 24 jam apabila berlaku banjir di sesuatu lokasi," katanya.

Artikel Berkaitan: