Kertas putih LTTE: Terserah KDN, Kabinet buat keputusan

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kabinet untuk membuat keputusan berhubung gesaan Pas supaya kerajaan membentangkan kertas putih mengenai gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, pembentangan kertas putih di Parlimen itu hanya boleh dibuat sekiranya ada tindakan daripada KDN dan Kabinet.

"Kita serah kepada KDN dan Kabinet untuk membuat keputusan (membentangkan kertas putih mengenai gerakan LTTE)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog dan Libat Urus Kaukus Reformasi & Tadbir Urus di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pas supaya kerajaan membentangkan Kertas Putih mengenai gerakan LTTE.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Anwar turut meminta agar polis diberi ruang sepenuhnya untuk menyiasat gerakan kumpulan itu tanpa sebarang gangguan dan tekanan.

Katanya, dalam isu berkaitan jenayah dan ancaman negara, polis perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan dengan segala kepakaran yang ada.

“Kita harus beri ruang kepada polis selesaikan masalah jenayah, masalah keganasan. Bagi ruang polis untuk tidak rasa tertekan dengan begitu banyak gangguan sebab itu dalam kes penahanan ini, saya serah kepada budi bicara polis dan KDN untuk menanganinya.

"Pasal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), itu soal lain. Tidak mahu ganggu oleh demikian, saya tidak fikir wajar dipersoal proses siasatan yang dikendalikan polis sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kes penahanan wakil rakyat yang dikaitkan dengan gerakan LTTE itu juga tidak perlu dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen.

Terdahulu, Pas semalam menggesa kerajaan membentangkan kertas putih mengenai LTTE di Malaysia, susulan penangkapan beberapa individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Anwar tidak setuju polis guna SOSMA