'Saya mohon ampun pada awak, keluarga'

Pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai lemas ketika memancing hari ini. (Gmbar kecil: Che Wan Abdul Manaf) - Foto ihsan bomba
Pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai lemas ketika memancing hari ini. (Gmbar kecil: Che Wan Abdul Manaf) - Foto ihsan bomba
A
A
A

TEMERLOH - "Saya mohon ampun banyak-banyak pada awak dan keluarga." Itu pesanan terakhir Che Wan Abdul Manap Che Wan Abdullah, 42, dari Felda Jengka 3 kepada isterinya, Azura Che Ani, 40, sebelum keluar memancing bersama rakannya kira-kira jam 9 pagi semalam.

Che Wan Abdul Manap dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Seboi, Kuala Krau ketika memancing semalam.

Azura memberitahu, dia memang terkejut selepas suaminya berkata sedemikian selain memesan supaya menjaga anak tunggal mereka, Che Wan Zaharul Islam, 3, sebaik mungkin.

"Memang ada rasa tidak sedap hati selepas suami kata begitu dan memang dia kelihatan teruja untuk keluar memancing semalam.

"Saya reda dengan kejadian ini namun berharap suami dapat dijumpai segera," katanya lagi.

Rakan mangsa yang juga saksi kejadian, Ahmad Kamal Jaafar, 47, memberitahu, lokasi terbabit seringkali menjadi tumpuan mereka untuk memancing selama ini.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sendiri itu bersungguh-sungguh mengajaknya untuk memancing namun mengakui perubahan sikap mangsa yang banyak berdiam diri pada hari kejadian berbanding kebiasaan.

"Saya memang pelik juga dia tidak banyak bercakap namun mengenangkan dia bersungguh-sungguh saya melayan kehendaknya untuk memancing pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

"Kami kemudiannya menaiki bot secara berasingan dan pada mulanya, saya nampak mangsa, kemudian kira-kira jam 3.30 petang kelibat mangsa tiada di bot yang dinaikinya.

"Saya membuat pencarian beberapa kali sekitar bot namun tidak menemui mangsa dan turut membuat pencarian bersama rakan lain dan penduduk kampung tetapi tetap gagal menjumpai mangsa," katanya pada Sinar Harian hari ini.

Ujarnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Krau pada jam 7.57 malam mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, seramai lima anggota dari balai itu dan lima lagi dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin dengan bantuan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang kampung dengan beberapa bot terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, pencarian dilakukan di permukaan air di sungai terbabit bermula jam 9.30 pagi tadi.

"Operasi dilakukan selepas malam tadi masih gagal menemui mangsa dan operasi kembali disambung hari ini," katanya lagi.