Kerajaan perlu kaji semula SOSMA, kata Aminuddin

Aminuddin (tengah) bersama sebahagian peserta yang hadir pada Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (tengah) bersama sebahagian peserta yang hadir pada Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan perlu mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika terdapat keperluan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kelulusan SOSMA yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tidak mendapat sokongan daripada barisan pembangkang ketika itu.

"SOSMA diluluskan oleh pemerintah terdahulu dan mendapat bantahan daripada pembangkang ketika itu, jadi kalau ada keperluan untuk kita kaji keberkesanan SOSMA kita perlu kaji.

"Kita mahu melihat undang-undang lebih baik dan adil kepada orang yang ditahan," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di Majlis Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah 2019 dekat Wisma Negeri di sini hari ini.

Tambahnya, kelulusan undang-undang itu tidak pernah mendapat sokongan daripada pihak pembangkang dan untuk itu akta itu perlu dikaji.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak kerajaan supaya memansuhkan SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara itu Aminuddin memberitahu pihaknya meminta supaya masyarakat bertenang dan membiarkan siasatan dijalankan terlebih dahulu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Katanya, beliau kini masih dalam siasatan dan belum ada pertuduhan lagi terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

"Beliau baru sahaja disiasat dah suruh berehat, kita sebagai masyarakat perlu beri peluang agar siasatan dijalankan secara adil dan baik, kemudian serahkan kepada keputusan mahkamah.

"Apabila sudah ada keputusan mahkamah, barulah kita fikirkan apa juga tindakan seterusnya untuk dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pas Negeri Sembilan yang meminta supaya ADUN Seremban Jaya itu direhatkan daripada tugas sebagai wakil rakyat sehingga kes selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara perlu telus dakwa pemimpin terlibat LTTE: Mufti Perlis