TNB pagar segera kawasan setinggan terlibat kebakaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan segera memagar kawasan perumahan setinggan di Pandan Jaya di sini bagi mengelak pembinaan rumah baharu di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Penghantaran TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, TNB akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Tanah Daerah (PTD) Hulu Langat dan pihak berkuasa berkaitan bagi melaksanakan tindakan itu sebagaimana diarahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Ini akan dijalankan selepas kesemua penduduk setinggan di kawasan itu dipindahkan bagi memastikan tiada pembinaan rumah setinggan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan semalam dilaporkan meminta TNB segera memagar kawasan tersebut bagi memastikan penempatan setinggan tidak diwujudkan semula.

Kawasan itu, menurut Dr Wan Azizah, tidak sesuai dijadikan penempatan atau perumahan kerana kedudukan tanah yang sempit dan terletak di bawah kabel elektrik TNB.

Beberapa insiden kebakaran dilapor di kawasan setinggan yang telah wujud sejak tahun 1970-an itu berikutan struktur binaan yang tidak sempurna, rapuh dan mudah runtuh, selain penyambungan dan pendawaian elektrik dibuat secara tidak sah.

Terbaharu, kejadian kebakaran berlaku di kawasan berkenaan melibatkan lapan rumah selain beberapa insiden kebakaran termasuk pada 25 Mei (10 rumah), 6 Jan (dua rumah) dan 30 Mei 2018 (25 rumah). - Bernama

Artikel Berkaitan: