'Belanda belum cukup bagus'

Pemain Belanda meraikan jaringan Wijnaldum pada aksi Kelayakan Euro 2020 menentang Belarus, awal pagi tadi. FOTO: Marca
Pemain Belanda meraikan jaringan Wijnaldum pada aksi Kelayakan Euro 2020 menentang Belarus, awal pagi tadi. FOTO: Marca
A
A
A

BELANDA semakin hampir untuk melayakkan diri ke Kejohanan Euro 2020 selepas menewaskan Belarus 2-1 dalam aksi kelayakan di Stadium Minsk, awal pagi tadi.

Namun, kemenangan itu bukan mudah diperolehi The Oranje selepas terpaksa berhempas pulas mempertahankan kelebihan dua gol yang diledak pemain tengah, Georginio Wijnaldum pada babak pertama perlawanan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk menilai prestasi semasa pasukan belum berada pada tahap memuaskan dan para pemain perlu memberikan aksi lebih 100 peratus sekiranya mahu layak ke saingan Euro 2020.

"Memang pada babak kedua kami tidak bagus. Kami kehilangan banyak bola di bahagian tengah yang membuatkan Belarus mampu melancarkan serangan balas. Mereka tidak begitu berbahaya, tetapi kami harus lebih baik lagi.

"Kami semua ingin mara ke Euro. Seluruh rakyat Belanda turut mengharapkan perkara sama.

"Memang untuk layak sudah semakin hampir, tetapi kami harus lebih fokus dan menganalisis persembahan ini sebelum perlawanan berikutnya," katanya.

Menurut van Dijk, selepas mendahului dua gol, sepatutnya para pemain Belanda perlu tenang dan cuba menjaringkan lebih banyak gol namun sebaliknya berlaku apabila Belarus menguasai perlawanan pada separuh masa kedua.

Kata tonggak pertahanan Liverpool itu, pasukannya hilang fokus sehingga memberikan ruang kepada Stanislav Dragun menjaringkan gol pada minit ke-53.

Artikel Berkaitan:

"Kami bernasib baik kerana Belarus tidak mendapat gol tambahan. Kami hanya perlukan satu mata lagi ketika menentang Ireland Utara, Khamis ini.

"Namun, jika prestasi perlawanan ini dijadikan ukuran, saya tidak yakin kami mampu menang (menentang Ireland Utara).

"Dalam tempoh beberapa hari ini kami perlu memperbaiki corak permainan dan kami tidak boleh hilang bola terlalu cepat dan membiarkan lawan menekan kami," katanya.