MP Rasah ambil alih tugas Gunasekaran

Cha Kee Chin (tengah) pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya hari ini.
Cha Kee Chin (tengah) pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya hari ini.
A
A
A

SEREMBAN – Tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang kini ditahan polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan diambil alih buat sementara waktu oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Menurut Kee Chin, beliau bertanggungjawab memastikan segala urusan di pusat khidmat DUN Seremban Jaya berjalan lancar memandangkan DUN Seremban Jaya berada di bawah kawasan Parlimen Rasah.

“Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook telah keluarkan arahan itu dan kita akan maklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenainya.

“Selepas ini saya akan lebih kerap berada di pusat khidmat DUN Seremban Jaya untuk membuat pemantauan dan dibantu oleh lima kakitangan di situ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kee Chin (tiga dari kiri) akan mengambil alih tugas Gunasekaran untuk menguruskan pusat khidmat DUN Seremban Jaya.
Kee Chin (tiga dari kiri) akan mengambil alih tugas Gunasekaran untuk menguruskan pusat khidmat DUN Seremban Jaya.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Negeri Sembilan berkata, operasi pusat khidmat berkenaan ialah pada hari Isnin dan Jumaat dari jam 9 pagi hingga 9.30 malam, Selasa, Rabu dan Khamis 9 pagi hingga 6 petang dan Sabtu pada 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, permasalahan rakyat akan terus diberi keutamaan dan ia tidak akan terjejas.

Gunasekaran merupakan salah seorang daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang ditahan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Artikel Berkaitan:

Selain Gunasekaran, seorang lagi ADUN DAP yang ditahan polis ialah ADUN Gadek, G Saminathan.

Dalam pada itu, tambah Kee Chin, beliau difahamkan pasukan undang-undang yang diketuai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer akan bertemu dengan pegawai penyiasat Bukit Aman esok untuk mendapatkan perkembangan terbaharu bagi membolehken ahli keluarga berjumpa Gunasekaran dalam waktu terdekat.