Haram bersimpati perjuangan LTTE: Abdul Hadi

Abdul Hadi - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Abdul Hadi - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia wajib menyokong perjuangan rakyat Palestin, sebaliknya haram bersimpati perjuangan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan juga diwajibkan mengawal rakyatnya supaya tidak berhubungan dan simpati dengan kumpulan dikategorikan pengganas itu.

"Wajib bagi Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan haram bersimpati dengan kumpulan Tamil Eelam.

"Wajib (bagi kerajaan) mengawal rakyatnya supaya tiada sebarang hubungan dan simpati dengan kumpulan haram itu,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut menjelaskan perjuangan rakyat di Palestin tidak boleh disamakan dengan perjuangan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka.

Menurutnya, perjuangan rakyat Palestin itu berkonsepkan usaha mempertahan serta menuntut hak sah, manakala LTTE merupakan kumpulan pemberontak yang hanya ingin mewujudkan negara sendiri di Sri Lanka.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis pantau Seeman, penyokong LTTE

"Kewujudan segelintir individu yang bersimpati dengan golongan pemberontak LTTE itu di negara ini memalukan Malaysia malah boleh dianggap pengkhianat.

Artikel Berkaitan:

"Kalangan rakyat yang ada hubungan dengan kumpulan itu juga tidak menghormati dan tidak setia kepada negera sendiri," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana didakwa mempunyai kaitan dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.

Dua ADUN itu antara tujuh individu didakwa terlibat dengan LTTE, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.

Sejumlah 32 negara termasuk AS, India, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.