Gas helium jika dicampur merbahaya, kata Wan Azizah

Dr Wan Azizah bergambar bersama penerima-penerima kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menghadiri Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Daerah Hulu Langat di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah bergambar bersama penerima-penerima kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menghadiri Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Daerah Hulu Langat di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Insiden belon meletup di Dataran Putrajaya semalam berkemungkinan berpunca daripada gas helium yang dicampur bagi menjimatkan kos, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, sekiranya bahan tersebut dicampur, sebarang kemungkinan boleh berlaku sehingga mengundang bahaya.

“Helium ini setahu saya ‘inert’ tetapi kalau dicampurkan untuk kurangkan kos, itu menyebabkan masalah.

“Dan kita kalau tahu itu ‘flammable’, jangan gunakan apa-apa api yang ‘life’ termasuk pemetik api dan rokok,” katanya selepas majlis penyampaian surat Tawaran Rumah Transit Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Insiden belon meletup dipercayai berisi gas helium selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya semalam menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an melecur.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk menggunakan pemetik api.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 termasuk 9 kanak-kanak cedera belon helium meletup

Daripada jumlah itu lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengelak insiden sama berulang, Dr Wan Azizah mengingatkan orang ramai agar tidak merokok dan menggunakan pemetik api secara sengaja atau tidak ketika berada berdekatan belon helium yang menjadi ‘prop’ pada sebarang majlis.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sehingga kini empat pesakit stabil dan akan dibenarkan keluar wad selepas menjalani pemeriksaan rapi daripada doktor.

“Mereka adalah tiga dewasa dan seorang kanak-kanak. Pesakit kini stabil namun masih perlukan rawatan lanjut kerana luka,” katanya.

Susulan insiden itu beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan kaunseling segera kepada mangsa terlibat yang trauma.

Dr Wan Azizah berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching berhubung garis panduan keselamatan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa hadapan. - Bernama