40 tahanan Malaysia di Syria mahu pulang

Ayob Khan (dua dari kiri) ketika menjadi ahli panel Forum Perdana Sempena Hari Pahlawan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Masjid Sultan Idris Shah II malam tadi.
Ayob Khan (dua dari kiri) ketika menjadi ahli panel Forum Perdana Sempena Hari Pahlawan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Masjid Sultan Idris Shah II malam tadi.
A
A
A

IPOH - Seramai 40 warga Malaysia yang ditahan di Syria dipercayai terlibat dengan kegiatan militan Daesh merayu untuk pulang ke tanah air.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu 29 ialah wanita dan kanak-kanak manakala 11 lagi lelaki dewasa.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang berada dalam tahanan itu sebanyak 65 orang dan hanya 40 yang berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pulang.

"Kita jangka jumlah ini akan meningkat kerana keadaan di Syria agak kritikal. Kita dapat maklumat bahawa dalam kem keadaan sangat teruk dari persekitaran dan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel Forum Perdana Sempena Hari Pahlawan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Masjid Sultan Idris Shah II di sini malam tadi.

Turut menjadi panel forum tersebut ialah Imam Besar masjid negeri, Abd Farid Salleh dan Pengasas YDKKM, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor dan Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli.

Ayob Khan berkata, wanita dan kanak-kanak yang masih berada di Syria ditempatkan di Kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Al-Hol manakala lelaki ditahan di penjara Al-Hasakah.

"Sebarang keputusan membawa pulang mereka bergantung kepada kerajaan dan PDRM terlibat dalam peringkat awal sahaja.

"Proses membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana membabitkan beberapa agensi dan kementerian serta hubungan dengan agensi luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua lelaki dewasa yang pulang ke negara nanti akan dituduh di mahkamah manakala bagi wanita dewasa dan kanak-kanak akan diberikan pemulihan berdasarkan tahap pengaruh pemikiran mereka.

“Masih ada lagi yang terpengaruh dengan kumpulan militan ini dan mereka ingin ke Syria. Kita ada buat tangkapan beberapa bulan lalu tetapi kini kita fokus di selatan Filipina yang menjadi medan baru kumpulan ini kerana faktor dekat dengan Malaysia dan senang untuk menyeludup masuk atau keluar.

“Mereka direkrut dan terpengaruh melalui media sosial. Segala interaksi serta gerakan juga diatur melalui media sosial hingga susah untuk kita kesan jika tiada maklumat risikan,” katanya.