Penyokong Harimau Malaya perlu bersikap profesional

Tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan diasak dua pemain Vietnam pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi. -Foto FAM
Tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan diasak dua pemain Vietnam pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi. -Foto FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meminta penyokong bola sepak negara supaya bersikap profesional dan tidak sesekali melemparkan kritikan yang tidak sepatutnya, terutama kepada keluarga para pemain.

Beliau berkata, ini kerana keluarga pemain tiada kena mengena dengan aksi dipamerkan pasukan negara selain sikap berkenaan hanya mengundang kepada perbalahan yang lebih besar.

"Saya harap penyokong kena tengok daripada segi yang positiflah daripada negatif dan bagi saya sendiri tak perlulah sampai nak menyerang pihak yang tiada kena mengena.

"Saya akui sokongan peminat itu penting cuma jangan sampai kita hilang pertimbangan," katanya ketika ditemui pada perlawanan persahabatan di antara Malaysian Chinese Legend dan Perak Chinese All Star di Padang Perak Chinese Recreation Centre (PCRC) di sini hari ini.

Semalam, Syuhadaa Adilla iaitu isteri kepada pemain pertahanan negara, Shahrul Saad nyata terkilan terhadap sikap beberapa penyokong yang melemparkan kritikan menghina keluarga suaminya di media sosial Instagram selepas Malaysia tewas 0-1 di tangan Vietnam pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 di Hanoi 10 Oktober lepas.

Syuhadaa turut menjelaskan pada awalnya beliau tidak mengendahkan mesej-mesej berkenaan namun apabila melampaui batas, beliau turut memuat naik status ditujukan kepada mereka yang meninggalkan komen negatif itu.

Katanya, kekalahan Malaysia itu juga berpunca daripada aksi keseluruhan pasukan dan bukannya terletak di bahu Shahrul semata-mata.

Selain itu, Cheng Hoe berkata, beliau berharap penyokong akan terus meniupkan semangat kepada para pemain negara kerana skuad Harimau Malaya masih berpeluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia jika memenangi semua baki perlawanan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 November depan. - Bernama