Rakyat perlu terima Belanjawan 2020, kata Azmin

Mohamed Azmin -Foto Bernama
Mohamed Azmin -Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap rakyat dapat menerima dan memanfaatkan setiap inisiatif kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 semalam khususnya dalam meningkatkan ekonomi negara.

Beliau berkata, tiga perkara yang disifatkannya sebagai asas utama dalam belanjawan itu iaitu mengembangkan ekonomi domestik, menarik pelaburan dari dalam dan luar negara serta memberi penekanan terhadap digital ekonomi, mampu memacu negara ke arah menjadi negara maju.

"Tiga perkara ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kelulusan projek baik pulih prasarana sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan sebanyak RM6.5 bilion bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada graduan dan wanita juga dilihat mampu merancakkan ekonomi negara.

"Golongan muda dan golongan wanita adalah penting bagi membangunkan ekonomi negara dan kita mahu golongan ini bersedia menghadapi teknologi baharu dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0," katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyerahkan peruntukan daripada kementeriannya berjumlah RM1.79 juta kepada 10 buah sekolah di sekitar Klang bagi projek baik pulih prasarana.

Antara projek baik pulih yang akan dilaksanakan ialah pemasangan pagar, pembinaan kantin, baik pulih dan menaik taraf infrastruktur sekolah.

Antara sekolah yang menerima peruntukan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pelabuhan Utara, SK Telok Gadong, SK Sungai Udang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong dan SMK Bandar Sultan Suleiman. - Bernama

Artikel Berkaitan: