Taufan Hagibis ragut satu nyawa

Puluhan rumah dan bangunan mengalami kerosakan selepas Taufan Hagibis membadai Jepun hari ini. - Foto AFP
Puluhan rumah dan bangunan mengalami kerosakan selepas Taufan Hagibis membadai Jepun hari ini. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Taufan Hagibis kuat dengan angin kencang yang membadai tengah Jepun hari ini menyebabkan seorang terkorban dan sembilan lagi cedera termasuk tiga kanak-kanak.

Mangsa berusia 49 tahun ditemui mati dalam kenderaannya yang terbalik di bandar Ichihara, dekat timur Tokyo manakala sembilan yang lain cedera di beberapa wilayah berasingan.

Pada jam 3.30 petang (waktu tempatan), Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran khas hujan lebat, tanah runtuh, air sungai melimpah dan angin kuat di tujuh wilayah termasuk Tokyo serta Shizuoka.

Meskipun taufan beransur lemah ketika menghampiri Jepun namun ia masih bahaya dengan kekuatan angin maksimum sehingga 195 kilometer sejam (km/j) atau bersamaan dengan taufan Atlantik kategori 3.

"Setakat jam 4 petang, Taufan Hagibis membadai pada jarak 30 kilometer dengan angin berkekuatan 162 km/j," jelas agensi itu.

Puluhan ribu orang telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut laporan agensi berita NHK, Hakone Town di barat ibu negara menerima hujan lebih 600 milimeter dalam tempoh 24 jam sehingga 2 petang.

Kira-kira 29,000 isi rumah turut terputus bekalan kuasa elektrik di wilayah Kanto dan Shizuoka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, taufan juga menyebabkan lebih 1,660 penerbangan terpaksa dibatalkan dan perkhidmatan kereta api termasuk kereta api berkelajuan tinggi atau bullet train dihentikan.

Syarikat penerbangan Jepun membatalkan 1,929 penerbangan antarabangsa dan domestik selepas Taufan Hagibis membadai bahagian tengah dan timur Jepun hari ini.

Agensi penyiaran NHK melaporkan, Japan Airlines Corporation (JAL), All Nippon Airways (ANA) dan penerbangan murah Peach Aviation mengambil langkah berjaga-jaga selepas Hagibis dianggap taufan paling ganas dengan membawa hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh 60 tahun.

Sesi persekolahan di Tokyo turut tutup ditutup hari ini.

Dikategorikan sebagai ‘besar’ dan ‘sangat kuat’, taufan itu juga menyebabkan pembatalan perlawanan Ragbi Piala Dunia selain turut menjejaskan Grand Prix Jepun.

Menurut laporan media tempatan, Hagibis diramalkan sebagai taufan pertama yang dikategorikan sebagai ‘sangat kuat’ melanda pulau utama Honshu sejak 1991 ketika sistem kategori diperkenalkan.

Menjelang tengah hari, kira-kira 1.64 juta orang di kawasan terjejas berada di bawah perintah berpindah bukan mandatori, dengan pihak berkuasa mendesak warga tua dan mereka yang mempunyai anak untuk dipindahkan lebih awal. - Agensi