Belon helium meletup: Enam mangsa masih dirawat

Dzulkefly melawat mangsa cedera yang kini masih menerima rawatan di wad Hospital Putrajaya.
Dzulkefly melawat mangsa cedera yang kini masih menerima rawatan di wad Hospital Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam daripada 16 mangsa yang terlibat dalam insiden belon helium meletup pada Program Kecerdasan Kementerian Pendidikan di Dataran Putrajaya pagi tadi, masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Belon helium yang menjadi 'prop' untuk program berkenaan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di sini meletup kira-kira jam 11.45 pagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 10 mangsa lain sudah dibenarkan pulang kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, enam mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengalami kesan melecur tahap dua dengan kecederaan kulit menggelupas dan berada dalam keadaan stabil.

“Kita terima maklumat daripada Klinik Kesihatan Persint 18 memaklumkan bahawa pasukan kesihatan kita yang sememangnya bersiap sedia di program-program sebegini membawa mangsa cedera untuk menerima rawatan.

“Ada 16 mangsa iaitu tujuh dewasa dan sembilan kanak-kanak. Enam mangsa yang masih di wad hospital akan terus dipantau susulan trauma dalam kejadian ini selain turut diberi kaunseling.

“Helium dalam belon tiada masalah. Punca kejadian masih dalam siasatan dan kita serahkan kepada pihak polis,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: