X

Kindly register in order to view this article
!

Konvensyen UMNO bincang PRN Perak

Saarani (tengah) dan Ahmad Zahid bersama-sama pimpinan tertinggi UMNO serta perwakilan yang hadir ke Konvensyen UMNO Perak, di Bangunan UMNO Negeri Perak, di sini hari ini.
A
A

IPOH - Persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) antara perkara yang dibincangkan dalam Konvensyen UMNO Perak, hari ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya PRN dalam masa terdekat.

Menurutnya, PRN boleh berlaku jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tergantung apabila tidak ada mana-mana pihak yang mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan negeri.

"Jika tiba-tiba kerajaan kurang 30 kerusi DUN atas sebab sama ada ahli dia lari ke apa, kerajaan negeri tergantung dan menteri besar kena mengadap Tuanku untuk bubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

"Tidak mustahil perkara ini akan berlaku kerana kita tahu apa yang sedang berlaku dalam Pakatan Harapan. Macam mana Pengerusi PKR Negeri boleh bantai menteri besar? Bagaimana ADUN DAP boleh bantai pengerusi DAP Negeri? Itu adalah keretakan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Konvensyen UMNO Perak di Bangunan UMNO Negeri Perak, di sini, hari ini.

Majlis perasmian konvensyen tersebut, disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama pada konvensyen berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta pimpinan tertinggi UMNO yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: SPR nafi ada PRN di Perak

Sementara itu, Saarani berkata, pergolakan yang berlaku di dalam parti-parti gabungan PH menyebabkan mereka semakin lemah.

Beliau yakin akan ada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam PH yang akan meninggalkan gabungan itu disebabkan pergolakan dalaman.

Mengenai Konvensyen UMNO Perak pula Saarani menjelaskan pelaksanaannya selaras dengan Perlembagaan UMNO yang menetapkan supaya ia dianjurkan setiap tahun.

"Konvensyen ini kita akan sentuh perkara-perkara mengenai kesiapsiagaan kita untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) atau PRN. Bukan sahaja persediaan untuk UMNO tetapi terhadap muafakat bersama Pas dan komponen BN sebab kita nak menang bersama-sama dan jadi kerajaan bersama-sama," katanya.

Awal minggu ini, tular sepucuk surat dari Kementerian Pendidikan yang memberi kebenaran kepada Pengarah Pilihan Raya Perak membuat lawatan ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi.

Menerusi surat bertarikh 23 September itu dinyatakan satu lawatan awal tapak akan dilakukan ke sekolah-sekolah berkenaan yang dijadikan pusat mengundi di Perak pada 1 September hingga 30 November 2019.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, surat kebenaran itu dimohon sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lanjutan daripada pendaftaran automatik bagi pengundi berusia 18 tahun.

Malah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun turut menafikan laporan kononnya PRN akan dilaksanakan di Perak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!