SPR nafi ada PRN di Perak

Azhar Azizan Harun
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Perak seperti dilaporkan media semalam.

Laporan itu turut menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan mengadakan lawatan ke sekolah yang dijadikan pusat mengundi.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, lawatan ke sekolah terbabit berkaitan urusan semakan yang dijalankan oleh SPR dari semasa ke semasa.

"SPR menafikan dakwaan bahawa sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya di Perak seperti yang dilaporkan media semalam.

"Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi melihat kesesuaian pusat mengundi selain memastikan jumlah pengundi tidak terlalu ramai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan urusan berkenaan juga selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958.

Justeru katanya, SPR menasihatkan media atau orang ramai merujuk pihaknya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya.

"Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada pihak awam," katanya.

Semalam, tular surat jawapan daripada Jabatan Pendidikan Perak terhadap permohonan SPR memohon kebenaran lawatan awal ke sekolah sebagai pusat mengundi di negeri ini.

Surat itu menyatakan jabatan berkenaan tiada halangan terhadap SPR untuk berurusan dengan pihak sekolah dalam tempoh antara 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh 1 September lalu sehingga 30 November ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim turut menafikan perkara itu dan mendakwa sehingga kini kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat berkenaan yang tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular surat lawat pusat mengundi: SPR sahkan persiapan PRU15