20 klinik kesihatan, sebuah hospital bakal dibina: Dzulkefly

Dr Dzulkefly (tengah) melancarkan Edaran Pelekat Notis Larangan Merokok di Premis Perniagaan sempena Kempen #Ayah Jangan Merokok peringkat kebangsaan di Rumah Kutai Sayong Signature, Meru Raya hari ini. -Foto Bernama
Dr Dzulkefly (tengah) melancarkan Edaran Pelekat Notis Larangan Merokok di Premis Perniagaan sempena Kempen #Ayah Jangan Merokok peringkat kebangsaan di Rumah Kutai Sayong Signature, Meru Raya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sebanyak 20 klinik kesihatan dan sebuah hospital baharu akan dibina berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan pada Belanjawan 2020 semalam, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, merujuk kepada pembinaan hospital baharu sebanyak RM1.17 bilion diperuntukkan bagi naik taraf kemudahan hospital manakala RM416.1 juta melibatkan pembinaan hospital baharu iaitu Hospital Kampar selain projek-projek pembinaan hospital yang sedang berjalan.

“Manakala sejumlah RM95 juta turut diperuntukkan untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan hospital sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Edaran Pelekat Notis Larangan Merokok di Premis Perniagaan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan 20 klinik kesihatan baharu yang akan dilaksanakan itu, Dzulkefly berkata, kementeriannya menitik beratkan aspek pengukuhan perkhidmatan di klinik kesihatan seluruh negara bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Jadi mana-mana klinik kesihatan yang memerlukan dana dan baik pulih atau naik taraf, kita akan beri keutamaan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan.

Sementara itu, Sivanesan berkata, Hospital Kampar baharu yang akan dibina bagi menggantikan hospital sedia ada itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk.

“Kita tidak dapat memastikan lagi berapa banyak katil bagi Hospital Kampar baharu yang akan dibina nanti tetapi Hospital Kampar sedia ada sekarang mempunyai kira-kira 80 katil.

Artikel Berkaitan:

“Hospital Kampar yang sedia ada sebelum ini bukan jenis hospital pakar, jadi kita mengharapkan hospital baharu yang akan dibina ini akan dapat menjadi hospital pakar sepenuhnya,” katanya sambil memaklumkan terdapat empat hospital pakar di Perak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif.

Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama berkata, peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding RM28.7 bilion pada belanjawan tahun lepas yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.

Katanya, peruntukan yang diumumkan itu merangkumi tujuh perkara antaranya RM1.6 bilion bagi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.

Manakala sejumlah RM319 juta bagi membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters. - Bernama