Ambil serius isu integriti pelajar: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin berucap serta merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 di Universiti Malaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Sultan Nazrin berucap serta merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 di Universiti Malaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Universiti Malaya (UM) diingatkan memberi perhatian serius terhadap laporan-laporan mengenai kepincangan di pelbagai organisasi bagi mengekang sebarang isu integriti, penyelewengan dan rasuah dalam kalangan warganya khususnya penuntut institusi berkenaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini kerana imej universiti tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik pelajar semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada perlakuan dan moral graduan yang dilahirkan.

Baginda yang juga Canselor UM bertitah, kerendahan akhlak dan ketiadaan integriti memberi kesan sangat besar dan telah terbukti dalam sejarah sebagai punca keruntuhan sesuatu tamadun serta kemusnahan sesebuah negara bangsa.

"Imej sesebuah universiti bukan hanya diwarnakan dengan bilangan dan tahap pencapaian kerjaya graduan yang dihasilkan tetapi universiti juga menerima tempias negatif jika ramai daripada graduan tersebut menghadapi pelbagai dakwaan jenayah di mahkamah atau meringkuk di dalam penjara," titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UM Ke-59, di sini hari ini.

Baginda bertitah, mengikut kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002, sebanyak 30.5 peratus daripada pelajar universiti yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah, sekali gus membayangkan nilai integriti dalam kalangan anak muda semakin terhakis.

No Image Caption

Titahnya, berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dari 2014 hingga Jun 2019, seramai 4,860 individu ditahan kerana rasuah dan daripada jumlah tersebut, seramai 2,594 orang atau 53.4 peratus adalah orang muda berusia di bawah 40 tahun.

"Tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pada tahun 2017 pula mendedahkan seorang daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap rasuah, sementara 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta atau barangan milik syarikat untuk kegunaan peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 37.3 peratus daripada responden lagi menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugas luar walaupun ada tajaan penuh, bukan satu kesalahan moral," titahnya sewaktu Istiadat Konvokesyen UM Ke-59, di sini hari ini.

Sultan Nazrin berkata, kajian dijalankan SPRM terhadap 1,000 pelajar universiti pula mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah, manakala 18.5 peratus pula akan menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil.

Baginda bertitah, dapatan kajian UKM dan hasil tinjauan IIM mempunyai hubung kait dengan data tangkapan SPRM, atas asas graduan yang dihasilkan 17 tahun yang lalu, kini berada dalam kumpulan usia 38 ke 40 tahun.

Sultan Nazrin berucap serta merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 di Universiti Malaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Sultan Nazrin berucap serta merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 di Universiti Malaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

"Saudara saudari akan berdepan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu saudara saudari menjadi aset atau liabiliti kepada negara," titahnya.

Sementara itu, seramai 6,562 graduan menerima anugerah pada Istiadat Konvokesyen UM kali ini.

Daripada jumlah itu, 477 graduan menerima ijazah kedoktoran, ijazah sarjana (2,026), ijazah sarjana muda (2,965), Diploma Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCED) seramai 803 orang dan Diploma (Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)) & Diploma Lanjutan (PPUM) seramai 291 orang.