Cheng Hoe belum mahu tekan butang panik

Cheng Hoe. Foto: Football Association of Malaysia (Official)
Cheng Hoe. Foto: Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe belum mahu menekan butang panik sekalipun skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam semalam.

Sebaliknya, Cheng Hoe berkata, perjalanan Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan itu masih panjang dan beliau optimis anak-anak buahnya mampu meraih mata ketika beraksi di laman sendiri menentang Thailand dan Indonesia bulan depan.

Malah, beliau mahu kekalahan kepada Vietnam itu dijadikan pengajaran berguna buat barisan pemainnya untuk bangkit dalam enam lagi baki perlawanan peringkat kumpulan.

“Sebenarnya ia satu kekecewaan (tewas kepada Vietnam) dan kita tidak bermain pada tahap sebenar. Namun, ia bukan sebab untuk kita panik dan menjelang aksi menentang Thailand dan Indonesia bulan depan, kita kena gandakan usaha dan ambil peluang bermain di laman sendiri untuk mencipta kemenangan.

“Kita juga masih ada enam perlawanan (peringkat kumpulan) lagi dan kekalahan kepada Vietnam ini bukanlah penamat segala-galanya” kata Cheng Hoe kepada pemberita sejurus skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mengulas kekalahan kepada Vietnam, Cheng Hoe mengakui skuad Naga Emas itu beraksi baik sehingga menyukarkan anak-anak buahnya mencari ruang untuk menembusi barisan pertahanan lawan.

“Malam tadi (kelmarin) keseluruhannya pasukan kita tak bermain pada tahap yang seperti diharapkan. Barisan serangan kita agak tumpul, kreativiti nak dapatkan gol itu yang sedikit sebanyak menjejaskan pasukan. Dari segi komitmen dan semangat berjuang tidak ada masalah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: