Belanjawan 2020: RM20 juta untuk kembang kemahiran banduan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan untuk memenuhi standard Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kebangsaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu khusus bagi program perkhidmatan makanan (F&B), pertukangan, perkhidmatan dobi dan kimpalan.

“Semasa Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) telah memperagakan Kain Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh penghuni Penjara Penor dan Bentong,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, bagi menyokong pertumbuhan perusahaan sosial untuk membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dalam membina komuniti, Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) juga akan diperuntukkan sebanyak RM10 juta.

"Kerajaan juga akan memperuntukkan tambahan RM10 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund Scheme (MyCIF).

“Ini adalah khusus untuk perusahaan sosial bagi mengumpul dana menerusi platform Pembiayaan P2P di mana MyCIF akan melabur dengan pelabur swasta secara sepadan (one-to-one) dengan menyediakan pembiayaan pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Bagi menggalakkan sektor swasta menderma untuk meningkatkan tanggungjawab sosial, Guan Eng berkata, nilai ambang pelaporan derma di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, dinaikkan kepada RM20,000 pada tahun hadapan, berbanding RM10,000 ketika ini.

“Bagi terus memupuk budaya menderma dalam kalangan rakyat Malaysia, potongan cukai ke atas sumbangan tunai kepada aktiviti kebajikan, sukan serta projek berkepentingan nasional yang pada masa ini dihadkan kepada tujuh peratus daripada pendapatan agregat bagi pembayar cukai selain syarikat, dinaikkan dan diselaraskan dengan had 10 peratus seperti yang dinikmati oleh syarikat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata, potongan cukai juga diperluaskan kepada sumbangan wakaf tunai kepada pihak berkuasa agama negeri atau badan yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk mentadbir wakaf.

"Ia turut diperluaskan kepada sumbangan wakaf tunai kepada universiti awam yang diluluskan untuk menerima wakaf oleh pihak berkuasa agama negeri dan sumbangan endowmen dalam bentuk tunai kepada universiti awam.

"Pengecualian cukai pendapatan yang diberikan ke atas semua pendapatan yang diterima oleh institusi dan organisasi keagamaan yang ditubuhkan bagi tujuan penyembahan dan pengembangan agama dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, akan diperluaskan kepada institusi yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya. - Bernama