Johor sambut baik Belanjawan 2020

Sahruddin (kiri) ketika menonton pembentangan Belanjawan 2020 di Muar hari ini.
Sahruddin (kiri) ketika menonton pembentangan Belanjawan 2020 di Muar hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen sebentar tadi.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pengumuman belanjawan negara yang inklusif itu dilihat mampu memberi impak positif terhadap perkembangan sosio masyarakat.

“Beberapa inisiatif penting membabitkan rakyat mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini selain inisiatif pakej galakan pelaburan istimewa untuk memperkukuhkan ekosistem rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini juga termasuk komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik persekitaran perniagaan Malaysia yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sahruddin yang juga Adun Bukit Kepong itu turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PH di kabinet kerana meluluskan pelbagai peruntukan khusus kepada pembangunan di negeri Johor.

“Sebanyak RM42 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan Pusat Rawatan Kumbahan Sungai Segget. Saya percaya peruntukan ini akan berlakunya transformasi terhadap Sungai Segget dan bandar raya Johor Bahru amnya.

“Selain itu, kita juga menerima sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk pembangunan fasiliti bagi melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ),” katanya.

Katanya, berita baik itu diteruskan lagi dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek sistem transit rapid (RTS) yang membabitkan hubungan antara Johor dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan tambahan peruntukan untuk sektor pendidikan dan perubatan yang diumumkan merupakan langkah yang progresif.

“RM30 juta diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia membuktikan Kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil iktibar kejadian yang berlaku di Sungai Kim Kim Mac lalu.

“Saya juga yakin tahap kecekapan perkhidmatan kepada rakyat di daerah Pontian dapat ditingkatkan dengan peruntukan sebanyak RM95 juta khusus bagi pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan di Hospital Pontian,” katanya.