Pekebun kecil nikmati bantuan musim tengkujuh RM200 juta

420039
420039
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memahami kesan harga komoditi yang rendah terhadap mata pencarian pekebun kecil, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta menerusi Bantuan Musim Tengkujuh, kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

“Kerajaan memahami kesukaran disebabkan harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh. Dalam masa sama, kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan akan terus menyokong industri tersebut dengan pelbagai langkah bagi membela nasib golongan tersebut.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM810 juta untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan memperuntukkan RM250 juta untuk program meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka manakala RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka.

"Sejumlah RM100 juta akan disalurkan untuk bekalan air Felda dan RM70 juta untuk perumahan generasi baharu peneroka Felda. RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan Felda,” katanya.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM738 juta akan disalurkan kepada Risda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felda) bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan.

“Peruntukan ini akan memanfaatkan lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta Felda,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: