Belanjawan 2020: Skim MySalam dan PeKa B40 diperluas

Petugas media sedang mengikuti pembentangan Belanjawan 2020 di lobi Parlimen, hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Petugas media sedang mengikuti pembentangan Belanjawan 2020 di lobi Parlimen, hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim perlindungan MySalam akan diperluaskan mulai 1 Januari 2020 kepada tiga kategori antaranya ke atas 45 penyakit kritikal termasuk penyakit terminal dan polio berbanding 36 penyakit sedia ada.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia juga diperluaskan kepada individu berusia sehingga 65 tahun berbanding dengan 55 tahun sebelum ini yang akan memberi manfaat tambahan kepada 1.5 juta individu.

"Ketiga, individu yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000 mereka akan menerima bayaran penyakit kritikal sebanyak RM4,000 dan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari apabila didiagnos dan dimasukkan ke hospital kerajaan.

"Ini akan memberi manfaat kepada lima juta individu," katanya pada pembentangan Belanjawan 2020 di sini hari ini.

MySalam merupakan skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk 4.3 juta individu sekiranya menghidapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.

Guan Eng turut mengumumkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) dilancarkan bagi menyediakan pemeriksaan dan intervensi awal bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti kesihatan mental serta kanser untuk mereka yang berusia antara 50 hingga 60 tahun.

"Setakat ini, 100,000 individu telah memperoleh manfaat daripada inisiatif ini. Mulai tahun hadapan, kerajaan akan memperluaskan liputan PeKa B40 kepada individu yang berumur 40 tahun dan ke atas," katanya.

Artikel Berkaitan: