RM1.1 bilion untuk Kementerian Pelancongan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, RM90 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen TMM2020.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka sempena kempen berkenaan.

“Dalam pada itu, sebahagian besar daripada levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang yang ke luar negara menggunakan pengangkutan udara mulai 1 September 2019 akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan.

"Kerajaan juga akan mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan.

“Pertama, pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan,” katanya.

Menurutnya, cadangan kedua pula ialah pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk lima tahun.

“Ketiga, meningkatkan potongan cukai diberi kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700 ribu sehingga RM1 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

“Keempat, elaun modal dipercepatkan ke atas perbelanjaan bagi pembelian bas persiaran baharu jenis pemasangan tempatan dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dan kelima, pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan diberikan kepada pengendali pelancongan bagi pembelian kenderaan pelancongan baharu yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Parlimen petang tadi.