Kerajaan komited perluas asas hasil, tingkat kecekapan percukaian

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperluas asas hasil, mengurangkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai bagi memastikan kutipan hasil yang mampan.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 dikeluarkan Kementerian Kewangan, matlamat tersebut akan dicapai antara lain dengan merasionalisasi insentif cukai, mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan cukai melalui pengauditan yang berkesan.

Menurut laporan itu, hasil kerajaan Persekutuan pada 2020 dijangka berkurang 7.1 peratus kepada RM244.5 bilion.

"Bagaimanapun, hasil dijangka meningkat 4.8 peratus jika tidak mengambil kira dividen khas Petronas dalam anggaran disemak 2019," menurut laporan itu.

Katanya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil negara dengan jumlah kutipan RM189.9 bilion.

Hasil cukai sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka stabil sekitar 11.8 peratus, manakala kutipan cukai langsung dianggar meningkat 5.2 peratus kepada RM142.7 bilion merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah hasil cukai.

"Sebahagian besar kenaikan tersebut disumbang oleh peningkatan kutipan cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) dan cukai pendapatan individu sebanyak RM75.5 bilion dan 37.4 bilion.

"Prospek pendapatan korporat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam menambah baik audit dan pematuhan cukai akan menyumbang kepada peningkatan kutipan CITA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, cukai tidak langsung dijangka meningkat 6.5 peratus kepada RM47.3 bilion terutamanya disumbangkan oleh hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi.

Kutipan SST pada 2020 diunjur RM28.3 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK selaras dengan perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi, program Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pelbagai program antarabangsa.

Kerajaan telah menetapkan sasaran ketibaan 30 juta pelancong dan jangkaan pendapatan sektor pelancongan sebanyak RM100 bilion pada 2020.

Dalam pada itu, dividen tahunan Petronas diunjur berjumlah RM24 bilion.

Laporan itu menyebut, hasil berkaitan petroleum dijangka mencatat RM50.5 bilion pada 2020 selaras dengan jangkaan purata harga minyak dunia di paras AS$62 setong.

Hasil bukan petroleum diunjurkan meningkat 6.6 peratus kepada 194.1 bilion selaras dengan komitmen kerajaan untuk mempelbagai hasil melalui inisiatif pembaharuan cukai.

"Hasil bukan petroleum dijangka kekal stabil sekitar 12.1 peratus daripada KDNK (2019: 12 peratus daripada KDNK).

"Kerajaan akan terus memperluas hasil bukan petroleum untuk memastikan aliran pendapatan yang mampan dalam jangka masa sederhana," kata laporan itu. - Bernama