Manfaat peningkatan lima peratus produktiviti kelapa sawit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan lima peratus dalam produktiviti subsektor kelapa sawit akan menambah 0.1 mata peratusan kepada paras asas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, selaras dengan peningkatan produktiviti, eksport akan meningkat 0.07 mata peratusan dan pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak 0.06 mata peratusan.

“Peningkatan produktiviti industri sawit turut memberi manfaat kepada industri lain seperti industri minyak dan lemak memandangkan industri sawit membekalkan 90.3 peratus input perantara kepada industri tersebut.

“Industri seperti tanaman bunga dan baja yang membekalkan sebahagian besar output sebagai input perantara kepada industri sawit juga dijangkakan mendapat manfaat daripada rantaian ke hadapan dan ke belakang,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, selain itu, industri berorientasikan pengguna seperti kenderaan bermotor dan restoran, dijangkakan memperoleh kesan positif daripada permintaan isi rumah yang lebih tinggi berikutan peningkatan pendapatan.

Katanya, selaras dengan kepentingan subsektor kelapa sawit kepada ekonomi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan pengeluaran dan meluaskan pasaran minyak sawit.

"Inisiatif tersebut termasuk memperkenal mekanisasi, mempelbagai pasaran eksport, menggalakkan penggunaan biodiesel dan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran global dan memastikan kemampanan industri ini.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat antarabangsa, tanaman kelapa sawit berdepan pemerhatian intensif daripada aktivis alam sekitar dan pengguna berikutan tuduhan bahawa pembersihan tanah kurang terkawal bagi tanaman sawit menyebabkan kemusnahan hutan, meskipun tanaman ini hanya menggunakan 0.4 peratus daripada tanah pertanian global berbanding pengeluaran pertanian lain, " menurut laporan itu.

Pada 10 Jun, 2019 Parlimen Kesatuan Eropah meluluskan Akta Delegasi yang melarang penggunaan bio bahan api berasaskan minyak sawit secara berperingkat menjelang 2030.

Larangan ini dijangka menjejaskan eksport biodiesel minyak sawit Malaysia ke EU secara berperingkat. Selain larangan dari EU, India, yang merupakan antara pengimport minyak sawit terbesar telah meningkatkan kadar tarif minyak sawit Malaysia.

Pada Mac 2018, India menaikkan duti import minyak sawit mentah (MSM) daripada 30 peratus kepada 44 peratus, dan minyak sawit diproses daripada 40 peratus kepada 54 peratus iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lebih satu dekad bagi melindungi tanaman sesawi negara tersebut.

Laporan itu menjelaskan bagaimanapun, berdasarkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif, India mengurangkan duti import MSM kepada 40 peratus dan minyak sawit diproses ditingkatkan kepada 45 peratus pada Januari 2019. - Bernama

Namun, duti import minyak sawit diproses ditingkatkan kepada 50 peratus pada September 2019 untuk tempoh enam bulan bagi mengekang import dan menggalakkan industri penapisan tempatan India, menurut laporan itu. -Bernama