Minta kemas kini akaun, taktik baharu Macau Scam

Seorang suri rumah dari Tanjung Gemuk mengalami kerugian RM49,999.87 ditipu Macau Scam. (Gambar kecil: Aidi Sham)
Seorang suri rumah dari Tanjung Gemuk mengalami kerugian RM49,999.87 ditipu Macau Scam. (Gambar kecil: Aidi Sham)
A
A
A

PORT DICKSON - Pelbagai taktik digunakan sindiket Macau Scam untuk memperdaya mangsa dan terbaru dengan cara meminta akaun bank dikemas kini kononnya untuk tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian Rabu lalu, seorang suri rumah dari Tanjung Gemuk di sini tertipu dengan modus operandi terbabit sehingga mengalami kerugian RM49,999.87.

Menurutnya, mangsa berusia 47 tahun dihubungi individu menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM7,000 dengan sebuah bank di Puchong.

“Mangsa menafikan perkara itu dan panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai polis dan meminta mangsa menyerahkan butiran akaun bank berserta jumlahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa diarah berbuat demikian kononnya untuk tujuan siasatan mengenai penglibatannya dalam mana-mana kes jenayah.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa ke sebuah bank di Port Dickson dan diberikan tiga kod nombor untuk dimasukkan ke mesin pengeluaran wang (ATM).

“Mangsa yang bimbang mengikut arahan tersebut dan sebaik di bank, mangsa telah memasukkan tiga nombor kod yang diberi suspek iaitu untuk kemas kini had limit pengeluaran, jumlah pindahan wang dan nombor akaun penerima.

“Bagaimanapun, mangsa sedar ditipu apabila melihat resit bank yang menyatakan berlaku pindahan wang dari akaunnya berjumlah RM49,999.87 ke sebuah akaun tidak dikenali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya atau panik, sebaliknya mendapatkan pengesahan daripada polis atau institusi kewangan terlebih dahulu.