Wanita di Arab Saudi dibenar sertai tentera

Negara itu telah meluluskan beberapa reformasi yang bertujuan untuk memperluas hak-hak wanita. - FOTO: AGENSI
Negara itu telah meluluskan beberapa reformasi yang bertujuan untuk memperluas hak-hak wanita. - FOTO: AGENSI
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi mengumumkan wanita negara itu dibenarkan berkhidmat dengan angkatan tentera dalam usaha memulakan program reformasi ekonomi dan sosial yang luas.

Langkah itu adalah antara yang terbaharu dalam usaha untuk meningkatkan hak wanita di negara itu walaupun kumpulan hak asasi manusia menuduh Riyadh bertindak keras terhadap kumpulan aktivis wanita.

“Selangkah lagi ke arah pemerkasaan,” tulis menteri luar di laman Twitter sambil menambah wanita juga dibenarkan berkhidmat sebagai prebet kelas pertama, koperal atau sarjan.

Tahun lalu, Arab Saudi membenarkan wanita untuk menyertai pasukan keselamatan.

Putera Mahkota Mohammed Salman yang juga dikenali pemerintah ‘de facto’ negara itu telah meluluskan beberapa reformasi yang bertujuan untuk memperluas hak-hak wanita termasuk membenarkan mereka memandu dan ke luar negara tanpa perlu mendapatkan kebenaran penjaga lelaki.

Bagaimanapun pada masa sama beliau juga turut mengawasi penangkapan beberapa aktivis hak wanita yang terkenal termasuk Loujain al-Hathloul.

Sebagai negara pengeksport minyak mentah terbesar di dunia, Arab Saudi sedang berusaha meningkatkan imejnya dan menarik pelancong sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mempelbagaikan ekonomi. - AFP

Artikel Berkaitan: