Lombong pecah, laluan Ipoh - Lumut terhalang

Limpahan air lombong telah menenggelamkan Jalan Ipoh-Lumut hari ini. - Foto Pembaca Sinar Harian
A
A

BATU GAJAH - Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif apabila Kilometer 22 Jalan Ipoh - Lumut berhadapan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) di sini ditenggelami air akibat lombong itik pecah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 10 pagi berlakunya kesesakan lalu lintas disebabkan limpahan air lombong ke laluan utama menghubungkan Ipoh dan Lumut.

“Laluan dari Ipoh ke Lumut telah dilencongkan di Lampu Isyarat di Kilometer 21 manakala, laluan dari Lumut ke Ipoh lencongan di lampu isyarat Kilometer 23 berhadapan Klinik Tronoh.

“Laluan alternatif boleh digunakan dari Ipoh ke Lumut adalah melalui Jalan Parit sementara, laluan alternatif yang boleh digunakan dari Lumut ke Ipoh pula adalah Jalan Kampung Bali - Tanjung Tualang - Batu Gajah,” katanya.

Limpahan air dari lombong yang pecah menyebabkan kesesakan lalu lintas di KM22, Jalan Ipoh - Lumut hari ini. - Foto Pembaca Sinar Harian
Limpahan air dari lombong yang pecah menyebabkan kesesakan lalu lintas di KM22, Jalan Ipoh - Lumut hari ini. - Foto Pembaca Sinar Harian

Menurutnya, anggota trafik sudah ditempatkan di lokasi kejadian bagi mengawal aliran lalu lintas.

“Kawalan lalu lintas dan sekatan sementara untuk lencongan kenderaan telah buat.

“Tiada kemalangan jiwa dan kerosakan berlaku. Punca tidak dikenal pasti dan perkara ini telah dirujuk ke JKR ( Jabatan Kerja Raya),” katanya.