Ganjaran RM1,000 jika jumpa Pendek

Muhammad Hanif menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang berjaya menemui pendek
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga menawarkan ganjaran RM1,000 kepada individu atau pihak yang menemui dan mengembalikan semula kucing peliharaannya yang hilang sejak Isnin lalu.

Muhammad Hanif Hussin, 27, berkata, kehilangan haiwan itu disedari kira-kira jam 5 petang apabila hanya tinggal dua ekor daripada tiga kucing kesayangannya.

Menurutnya, kucing yang diberi nama Pendek itu sangat disayangi isterinya, Nurul Aishah Atan, 27, dan dia buntu mencari haiwan berkenaan selepas pelbagai usaha dilakukan.

“Kucing itu diberi oleh seorang kawan dari Singapura dan ada nilai sentimental tersendiri bagi kami suami isteri.

“Kali terakhir jiran nampak Pendek bermain di depan rumah pada waktu tengah hari. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya tapi gagal.

Kucing diberi nama pendek yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu
Kucing diberi nama pendek yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu

“Kucing itu paling disayangi isteri saya, Saya bimbang dia sedih dan beremosi kerana kini dalam tempoh berpantang anak sulung kami di kampung jika mendapat tahu kucingnya hilang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Hanif berkata, sebelum ini dia berusaha mencari di kawasan sekitar rumahnya di Taman Nong Chik Heights di sini.

Katanya, iklan dan poster mengenai kehilangan kucing itu turut ditampal di beberapa lokasi bagi meminta orang ramai mengesan haiwan yang dipelihara sejak kecil.

“Kucing dari baka jenis munchkin ini berkaki pendek, bulunya putih dan ada tompokan hitam di muka.

“Saya minta siapa yang ada terambil atau terjumpa Pendek boleh hubungi saya di talian 0195269608 atau 072073222 dan saya akan beri ganjaran yang ditawarkan,” katanya.