[DIKEMASKINI] Lelaki maut tersepit dalam lori

Lori muatan barangan runcit remuk selepas terbabit kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Latar awal pagi tadi.
Lori muatan barangan runcit remuk selepas terbabit kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Latar awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki maut manakala abangnya cedera selepas lori jenis Isuzu membawa muatan barangan runcit yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori pasir di Kilometer 14.7 Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, mangsa, Amir Haiqal Jajuli, 20, yang beralamat di Jalan Sempadan Kampung Parit Mahang, Jeram meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, ketika kejadian lori yang dipandu abang mangsa berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menghala Kuala Lumpur.

"Siasatan awal polis mendapati lori terbabit hilang kawalan apabila tayar hadapan sebelah kiri bergoyang lalu melanggar lori pasir di hadapannya," katanya.

Md Asri berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu cedera ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan pemandu lori pasir berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan bomba dengan menggunakan peralatan khas.