China musnahkan kubur etnik Uighur

Imej satelit menunjukkan kawasan tanah perkuburan etnik Uighur yang telah 'dibersihkan'.
A
A

BEIJING - China didakwa memusnahkan kawasan tanah perkuburan keluarga penduduk Uighur di bawah satu lagi kempen untuk menghapuskan identiti minoriti Islam yang dilakukan di wilayah Xinjiang.

Berdasarkan analisis imej satelit, puluhan tanah perkuburan telah dimusnahkan dalam tempoh dua tahun.

Beberapa tapak perkuburan itu turut dijadikan kawasan parkir kereta dan taman permainan.

Di daerah Shayar, wartawan AFP melihat sendiri tulang temulang bertaburan dan ditinggalkan di tiga lokasi manakala di kawasan lain menyaksikan kubur terbabit diratakan.

Dalam satu kenyataan, pihak pembangunan bandar memberi penjelasan rasmi bahawa kononnya ia adalah langkah standard yang biasa dilakukan terhadap kubur lama.

Imej tersebut didedahkan selepas pihak berkuasa Xinjiang pada awal minggu lalu mendakwa pegawai mereka melakukan tugas 'biasa' selepas rakaman mengejutkan memaparkan pemindahan ratusan tahanan Muslim dirantai dan mata mereka ditutup yang menerima pelbagai reaksi kurang senang masyarakat antarabangsa.

Etnik Uighur yang menetap di luar negara mendakwa langkah pemusnahan itu adalah sebahagian daripada kempen kerajaan untuk mengawal setiap elemen dalam kehidupan mereka.

"Ini adalah kempen China untuk menghapuskan sebarang bukti tentang kami dan secara efektif menjadikan kami seperti kaum Han (penduduk Cina).

"Itulah sebabnya mereka memusnahkan kesemua tapak sejarah tersebut dan tanah perkuburan untuk memutuskan hubungan kami dengan sejarah dan nenek moyang kami," kata Salih Hudayar yang mendakwa kubur moyangnya turut menjadi sasaran kempen tersebut.

China berdepan kecaman negara antarabangsa selepas lebih sejuta etnik minoriti Islam ditahan di kem pendidikan semula di Xinjiang atas alasan untuk memerangi ekstremisme dan separatisme. - Agensi