Dilof kini dikenali sebagai Media Mulia

Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengesahkan penghentian operasi berkuat kuasa hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan), Dilof Sdn Bhd (Dilof) telah dinamakan semula sebagai Media Mulia Sdn Bhd.

Penukaran nama tersebut dibuat selepas Utusan Melayu menjual sebanyak 70 peratus kepentingan Dilof kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia).

Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mendakwa, akhbar keluaran syarikat tersebut iaitu Utusan Malaysia akan diteruskan oleh syarikat baharu itu.

"Utusan akan terus hidup. Kami membubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan (telah) diperolehi oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan (baru) dalam masa terdekat," katanya menerusi The Edge Markets.

Menurut portal berita itu, firma Aurora Mulia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, telah memperoleh kepentingan pegangan 70 peratus dalam Dilof iaitu syarikat induk yang memegang lesen percetakan Utusan.

Walau bagaimanapun, pengambilalihan Syed Mokhtar adalah khusus untuk lesen Utusan Malaysia dan bukannya mengambil alih kumpulan Utusan Melayu secara keseluruhan.

Hari ini, Lembaga Pengarah Utusan membuat keputusan menutup operasi syarikat yang melibatkan penerbitan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad menerusi satu memorandum pekeliling yang diedarkan kepada staf syarikat.

Tindakan tersebut menyebabkan seramai nasib seramai 862 kakitangan syarikat tersebut berada dalam keadaan terumbang ambing berikutan penutupan syarikat yang sudah berusia 80 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Utusan Malaysia sah henti operasi hari ini